KEM Project Ideation Experience (PIE) 2025 | Mencetus Inovasi, Membangun Potensi!

#antenna #communication #education #international-collaboration #rfid
Share

Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berjaya menganjurkan KEM Project Ideation Experience (PIE) 2025 pada 29 dan 30 Julai 2025 di kampus UTM Johor Bahru. Program tahunan berimpak tinggi ini bertujuan memperkasa pelajar sekolah menengah dengan pendedahan kepada bidang kejuruteraan, teknologi dan inovasi melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyeluruh, interaktif dan menyeronokkan.

 

KEM PIE 2025 telah dianjurkan dengan kerjasama IEEE Malaysia ComSoc/VTS Joint Chapter dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pontian, serta mendapat sokongan penuh daripada Jabatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPN Johor).

 

Program ini menampilkan beberapa modul utama yang dirancang bagi membina daya kreativiti dan penyelesaian masalah dalam kalangan pelajar. Antara modul yang dilaksanakan ialah Cetus–Reka–Laksana–Kendali (CDIO), pengenalan kepada Internet Kebendaan (IoT), pembangunan perkakasan dan aplikasi mudah alih serta taklimat khas Pertandingan PIE 2025. Modul-modul ini telah dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman dari FKE iaitu Prof. Madya Ts. Dr. Rashidah Arsat, Dr. Noor Asmawati Samsuri, Prof. Madya Dr. Rozeha A. Rashid, Dr. Muhammad Ariff Baharuddin dan Ir. Ts. Dr. Zaharah Johari. Taklimat pertandingan pula disampaikan oleh Dr. Nur Najahatul Huda Saris dan Ts. Dr. Nur Ayeesha Qisteena Muzir.

 

Seramai 100 pelajar daripada 25 sekolah menengah di lima daerah di Johor, iaitu Pontian, Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pasir Gudang, telah menyertai program ini. Jumlah penyertaan ini menjadikan KEM PIE 2025 antara edisi terbesar yang pernah dianjurkan.

 

Pelaksanaan program digerakkan secara kolektif oleh pensyarah dan staf sokongan FKE dengan bantuan fasilitator pelajar FKE UTM yang memainkan peranan penting dalam aktiviti amali dan kumpulan. Peserta menunjukkan keterujaan tinggi dalam menyelesaikan masalah kejuruteraan, membina keyakinan dan meneroka potensi dalam bidang STEM.

 

FKE UTM merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam kejayaan KEM PIE 2025.

 



  Date and Time

  Location

  Hosts

  Registration



  • Add_To_Calendar_icon Add Event to Calendar
  • Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE),
  • Universiti Teknologi Malaysia (UTM)
  • Skudai, Johor
  • Malaysia

  • Contact Event Hosts
  • Co-sponsored by Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru